Cinta
Amaran saya: :) Cakap memang senang.
Yang paling saya takut untuk bercakap adalah perihal cinta. Ya, saya bergurau tentangnya. Saya boleh bergelak ketawa mengatakan itu dan ini perihal cinta.
Tapi bercakap dan bergelak ketawa itu dua perihal yang lain.
Bercakap soal cinta semacam terkena hidung sendiri. Seperti main skuash. Bola itu saya pukul dan nanti ia datang kembali. Satu cara saja mahu menang; saya kena pukul ia sekali lagi. Malangnya ia akan tetap kembali, lagi dan lagi.
Jadi bila ada orang datang pada saya; samada berbincang serius atau mahu berhikayat kisah hidup, saya lebih rela lari.
Cuma sampai bila saya mahu lari? Nanti saya akan letih juga. Paling tidak saya akan bosan. Atau mungkin saja yang mengejar itu mampu menangkap saya kepadanya.
Hari ini, saya mahu berhenti dan menghadapnya. Saya akan jujur tentang cinta.
---------
Semuanya mudah jika hidup ini hanya perkataan. Hanya huruf, nombor dan simbol. Hanya cakap mulut saja. Lebih mudah kalau ia cuma bayangan, anganan dan impian.
Tapi tentunya hidup ini aksi. Ada perbuatan, ada tindakan.
Bila kita dengar 'darah', mungkin kita rasa sesuatu. Samada jelek, kasihan mahupun bayangan kesakitan. Namun bila kita ini 'berdarah', barulah saja kita benar-benar tahu nilai darah itu. Sakitnya setakat mana, takutnya sedalam mana , atau mati itu bila tibanya.
Saya pernah putus cinta. Oleh sebab lebih daripada sekali, jadi saya sifatkan ia berkali-kali. Tak wajar saya hentikan di situ kerana ia akan jadi berat sebelah. Ini kerana bila kita sebut putus cinta itu, maka kita meletakkan diri kita sebagai mangsa dan yang terseksa.
Maka saya pernah menolak cinta orang. Lebih daripada sekali, jadi berkali-kali juga. Bila kita menolak cinta orang, pandangannya kita inilah pula pemangsa dan yang menyeksa.
Ini wataknya, protagonis dan antagonis kisah cinta.
Untuk apa semua ini?
Kisah cinta kita, cinta remaja, ulangannya pada jatuh cinta, bercinta dan putus cinta. Kita kena kenal watak-wataknya, barulah kita boleh cakap perihal jalan cerita.
Tentu semua mahu jadi hero/ heroin. Tak siapa mahu jadi 'orang jahat' / pemangsa. Kita pun begitu juga.
Sebab itu bila kita bercinta dan putus, akhirnya yang silap, yang salah itu 'dia'. Kita ini silap juga, cuma 'dia' lah penyebab utama.
Persoalannya, betulkah?
----------
Saya tak mahu menjawab itu. Saya tiada jawapan untuk itu. Saya percaya setiap daripada kita ada kisah tersendiri dan saya tidak layak memartabatkan diri saya sebagai penanda aras bagi hidup orang lain.
Saya cuma mahu mengatakan bahawa :
1. cinta kekasih itu melibatkan dua orang. Jika seorang, itu 'bertepuk sebelah tangan'.
2. Diam tidak semestinya setuju. Diam boleh jadi tiada pendirian.
3. Manusia tidak dapat membaca minda manusia. Meneka tidak sama dengan berkata . Kalau tidak dikata, tak siapa tahu.
4. Cinta bukan sekadar perkataan. Ia perbuatan.
5. Cinta bukan pelarian. Cinta bukan pengharapan. Cinta bukan dua menjadi satu.
6. Kalau kita bercinta, awak tetap awak, dan saya tetap saya. Kita berkompromi, tapi belum tentu kita sama.
Saya yakin bahawa kalian lebih faham dan lebih tahu semua ini. Saya cuma mengulangi. Kerana bila emosi menguasai diri, kita paling benci hujah paling bernas. Sebab dengan hujah itu, emosi terpaksa berundur kembali dan naiklah akal sebagai raja diri.
Paling penting, kita sama ingat, bahawa yang terpenting, semua ini daripada tuhan. Kita daripada tuhan, cinta juga daripada tuhan.
Manusia tak mampu memberi cinta. Hanya tuhan, hanya Dia, Pemilik segala-galanya. Maka sebenarnya kerunsingan itu untuk apa?
Itulah yang saya tanya waktu menangis: untuk apa?